Usah biar kulit kering
Mereka yang tinggal di negara empat musim tidak asing dengan pengalaman kulit sangat kering ketika cuaca sejuk yang menyebabkan kulit badan dan tangan menjadi kasar dan merekah.
Biarpun masyarakat di negara tropika punya pengalaman berbeza, kita juga tidak terlepas daripada dibelenggu masalah kulit akibat cuaca melampau, pencemaran alam sekitar, gaya hidup yang sibuk, pemakanan tidak seimbang dan kesan penyaman udara.
Semua faktor ini boleh menjadikan kulit badan dan tangan kita lebih cenderung mengalami kekeringan dan suram, malah kegatalan. Gaya hidup masa kini dan keadaan persekitaran menyebabkan kulit mudah menjadi rosak.
Pendedahan berpanjangan kepada penyaman udara, cahaya matahari, mandi dengan air panas atau membersih menggunakan sabun boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan memburukkan lagi keadaan.
Mereka yang mengalami kulit kering selalunya mempunyai bahagian kulit kasar dan kemerah-merahan, selain gatal.
Bahagian kulit yang biasa terbabit termasuk lengan, tangan, bahagian bawah kaki, abdomen dan yang selalu bergeser, misalnya buku lali serta tapak kaki.
Kulit kering juga boleh menyebabkan beberapa penyakit kulit, seperti ekzema dan atopik ekzema (AD). Atopik ekzema adalah penyakit radang kulit yang berciri ruam gatal dan boleh menyebabkan rasa sakit, lara dan resah.
Ia berpunca daripada abnormaliti atau ketidaksempurnaan pada sistem keimunan tubuh yang membawa pada kerosakan kulit. Ciri utama penyakit itu termasuk kulit kering, gatal dan lama-kelamaan, kesan garu itu menjadi tebal.
Pada bayi, ia mudah berlaku di pipi, kulit kepala dan kaki manakala bagi kanak- kanak dan golongan dewasa, ia terjadi di kawasan berlipat seperti siku dan bawah lutut.
AD boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu atopik dermatitis alergi, di kenali juga sebagai alergi AD, paling biasa dan dialami lebih 70 peratus pesakit AD. Ia dikaitkan dengan abnormaliti sistem imun, iaitu peningkatan sejenis antibodi, IgE.
Kategori kedua pula atopik dermatis bukan alergi, berlaku kira-kira 30 peratus kes AD. Ia jarang berlaku kerana tiada peningkatan tahap IgE tetapi mempunyai ciri-ciri klinikal luaran yang hampir sama dengan AD alergi.
Sifat AD yang kompleks menyukarkan punca sebenar diketahui. Begitupun, banyak perkara dikaitkan sebagai pencetus ekzema.
Antaranya mandi tanpa sabun, berpeluh, kesejukan, jangkitan bakteria dan kurap. Namun perlu diingat, setiap orang memiliki pencetus yang tidak sama.
Namun semua itu boleh dikategorikan sebagai faktor persekitaran. Kerana faktor genetik juga sebenarnya berkemampuan menyebabkan ekzema.
Untuk membantu mengurangkan simptom kurang menyenangkan serta tidak selesa, gunakan pelembap sebagai asas rawatan untuk kulit kering dan dermatitis atopik.