Nafas berbau kerana resdung
Nafas berbau boleh disebabkan oleh masalah yang berpunca dari bahagian hidung, sinus, tekak, gigi, ruang mulut, paru-paru mahupun dari perut. Semua bahagian ini ada bersangkut-paut dengan ruang pernafasan.
Sinus adalah ruang kosong di bahagian tengkorak yang berkomunikasi dengan ruang hidung. Apabila ruang sinus ini dijangkiti oleh kuman, kahak kuning atau kehijauan akan mengalir ke ruang hidung lalu menitis ke belakang tekak post nasal drip.
Ini akan membawa kepada pelbagai masalah dari sakit kepala, hidung tersumbat, sakit tekak, serak suara mahupun nafas berbau.
Rinitis ialah istilah yang menyatakan bengkak pada tisu bahagian hidung (inflamasi atau radang pada membran mukus di hidung).
Ia sama ada disebabkan oleh alahan ataupun infeksi pada mana-mana bahagian hidung atau rongga sinus. Post nasal drip boleh disebabkan oleh rinitis itu sendiri.
Jika seseorang itu mengalami simptom-simptom yang telah saya sebutkan tadi, berjumpalah seorang pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) supaya ruang hidung, sinus, mulut dan tekak diperiksa dengan betul dan punca nafas berbau ini dapat dikesan dan diubati.
