Hapuskan parut jerawat

SALLY merenung ke bayangnya di cermin. Jerawat sudah sembuh hasil rawatan yang dijalani dengan bersungguh-sungguh. Selain berubat di klinik, dia juga rajin ke salon untuk mencuci mukanya. Tak cukup dengan itu dia turut mengamalkan rejim mencuci muka dan pemakanan sihat.
Setahun yang lalu masalah jerawat bagaikan tragedi ngeri yang menimpa Sally. Syukurlah dengan teknologi perubatan moden maka mimpi ngeri tersebut sudah berakhir dan kini hanya tinggal kesan parut kehitaman.
Baru-baru ini Sally datang bertemu saya. Dia bertanya sama ada parut parut tersebut dapat dipulihkan atau tidak.
“Bagaimanakah cara terbaik bagi memulihkah parut. Jika ada apakah peratusan ia boleh pulih semula?” tanya beliau bertalu-talu.
Semangat Sally tetap kental sebagaimana saya mengenalinya setahun lalu.
Saya yakin Sally akan berjaya merealisasikan impiannya. 
Apakah sebenarnya 
parut jerawat?
Apabila jerawat sembuh, ia akan meninggalkan kesan kemerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat tetapi kesan daripada radang jerawat . Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri . Proses penyembuhan ini boleh mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Kesan akibat jerawat lebih daripada setahun dikenali parut jerawat. Biasanya parut ini kekal dan membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik. Untuk mengelakkannya rawatan awal boleh dilakukan. 
Rawatan awal 
Radang kulit disebabkan oleh jerawat adalah satu proses penyembuhan yang normal. Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu merawat peringkat awal parut jerawat.
Pendedahan kepada matahari melambatkan proses penyembuhan radang jerawat dan boleh merosakkan kulit. Oleh itu pengunaan sunblock yang sesuai amat penting 
Doktor boleh memberi krim tretinoin untuk mempercepatkan proses remodeling kulit. 
Penggunaan peeling agent seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) yang bersesuaian juga boleh mempercepat kan proses remodeling kulit 
Jangan memicit jerawat atau parut jerawat . Ini akan mengganggu proses penyembuhan jerawat. Ia juga boleh menyebabkan bakteria yang terdapat di dalam jerawat tersebar lebih ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan parut jerawat yang lebih dalam berlaku 
Penggunaan krim antioksidan seperti Vitamin C juga membantu memulihkan kesan jerawat. 
Rawatan parut jerawat
Dengan kemajuan teknologi laser dermatologi/ aesthetic , kini rawatan yang paling berkesan untuk rawatan parut jerawat adalah dengan menggunakan laser. Dua jenis laser yang paling berkesan adalah laser CO2 (karbon dioksida ) atau Erbium Yag. Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative. Ia bermaksud akan meratakan kawasan kulit yang dirawat dengan laser. Ia juga akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang dalam serta pori pori muka kelihatan lebih halus. Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi di antara enam ke lapan minggu. 
Masalah jerawat adalah masalah utama untuk remaja . Masalah ini menjadi lebih rumit apabila remaja mula mencuba pelbagai jenis produk. Saya boleh memberi beberapa tip dan panduan untuk remaja yang mempunyai masalah jerawat.
1. Amalkan banyak pemakanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah-buahan citrus, nenas, kiwi dan anggur. Kebanyakan sayur sayuran juga mempunyai antioxidan yang tinggi . 
2. Stres juga boleh menjadikan jerawat tumbuh dengan banyak. Oleh itu lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan stres dan menyihatkan seperti bersukan
3. Apa-apa produk yang diletakkan di muka mestilah bebas minyak, berasaskan air dan non-comedogenic (tidak menyumbat pori-pori muka). Gunakan pencuci muka yang sesuai dan jangan mencuci muka dengan sabun mandi.
4. Jika peralatan kosmetik anda menyebabkan tumbuh whitehead atau blackhead, tukar kepada jenama lain. Yang terbaik adalah kosmetik berasaskan mineral. Kosmetik di muka mesti dicuci sebelum tidur .
Perubahan hormon juga boleh menyebabkan jerawat yang teruk. Jika langkah langkah di atas tidak dapat membantu, rawatan seperti antibiotik, chemical peeling, photofacial dan rawatan hormon boleh membantu. Sila berjumpa dengan pakar kulit. 
Parut di muka selalunya disebabkan oleh kesan jerawat. Namun begitu ia juga boleh disebabkan kesan kecederaan seperti terbakar atau luka. Setakat ini belum ada produk yang boleh merawat kesan parut dengan berkesan. Jika parut itu tidak dalam, rawatan seperti chemical peeling dan microdermabrasion boleh membantu mengurangkan masalah parut. Tetapi jika parut itu dalam dan banyak, rawatan yang sesuai adalah laser CO2 atau Erbium YAG. Rawatan yang diperlukan adalah sebanyak tiga ke lima sesi. Rawatan ini adalah yang terbaik untuk masalah parut. 
Jerawat di badan
Untuk merawat Jerawat di badan , saya nasihatkan untuk mengambil antibiotik yang sesuai seperti Minocycline HCL. Ini bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat itu bengkak dan sakit. Semasa rawatan antibiotik , nada perlu menggunakan krim Benzoyl peroxide (seperti jenama Oxy) agar rawatan lebih berkesan. Jika jerawat tersebut mempunyai blackhead, rawatan seperti krim tretinoin perlu digunakan. Namun begitu anda dinasihatkan bertemu doktor untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai.
Untuk rawatan terkini, terdapat dua jenis laser yang sangat berkesan untuk merawat jerawat iaitu Isolaz yang mendapat kelulusan untuk merawat jerawat tahap 1 hingga tahap 6 dan laser long pulse Nd:Yag. Kelebihan rawatan ini adalah ia ringkas, tidak sakit dan sangat berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *