Bahaya lelaki boroi
Bagi mereka yang mengalami masalah mati pucuk, kini ada alternatif yang lebih murah dan tidak perlu menelan ubat. Penyelesaian itu ialah dengan menurunkan berat badan dan membuang lemak di bahagian perut. Untuk mendapatkannya, lakukan senaman secara teratur serta jalani gaya hidup sihat.
Seperti yang diungkapkan dalam kajian terbaru yang dimuatkan dalam Journal of Sexual Medicine, usaha untuk menurunkan di antara lima hingga 10 peratus berat badan dalam tempoh dua bulan mampu meningkatkan fungsi ereksi dan mengembalikan keinginan terhadap hubungan kelamin lelaki obes yang menghidap diabetes.
Kajian yang dilakukan di Australia itu memang berskala kecil kerana sekadar melibatkan 31 orang sukarelawan. Namun, kesimpulannya menjadi penting apatah lagi kajian sebelum ini menunjukkan obesiti dan mati pucuk saling berkait.
Berat badan berlebihan terutamanya pembentukan lemak di perut, boleh mempengaruhi fungsi hubungan kelamin lelaki dengan pelbagai cara. Obesiti akan mengganggu kemampuan tubuh untuk menyalurkan darah ke bahagian zakar dan menyebabkan pengeluaran testosteron menurun.
Meskipun hasil kajian tentang pelangsingan tubuh dan mati pucuk terus berkembang, fakta menunjukkan bahawa lelaki yang aktif secara fizikal dan mempunyai diet yang sihat secara relatif memiliki aktiviti hubungan kelamin yang berkualiti.
Pakar-pakar perubatan juga berharap fakta bahawa dengan menurunkan berat badan dapat memperbaiki kehidupan hubungan kelamin akan membuka mata kaum Adam yang berperut buncit supaya lebih sedar tentang ancaman bahaya penyakit lain seperti jantung, diabetes dan strok.