Tips Dan Rawatan Ubat Untuk Sembelit
Sembelit boleh terjadi akibat kurang pengambilan air dan serat dalam makanan. Ia juga boleh terjadi kepada bayi yang minum susu formula atau bertukar corak pemakanan, pesakit yang terlantar, pesakit yang mengambil ubat jenis opioid seperti tramadol dan morfin, pesakit kanser usus dan pesakit irritable bowel syndrome.
Rawatan tanpa ubat
Rawatan sembelit menggunakan ubat tidak menyembuhkan sembelit secara kekal. Sebelum mengambil ubat, punca sembelit hendaklah dikenal pasti dan diatasi terlebih dahulu.
Sembelit ialah kesukaran membuang air besar yang melibatkan pembuangan najis yang keras dan kurang kerap berbanding kebiasaan. Individu yang sembelit biasanya terpaksa meneran dan merasa tidak puas membuang air besar.
Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah sembelit adalah seperti minum 6 – 8 gelas air sehari, makan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin yang tinggi kandungan serat dan bersenam setiap hari.
Selain daripada itu kurangkan pengambilan produk tenusu, alkohol, dan makanan atau minuman yang mengandungi kafein seperti coklat, teh dan kopi.
Namun begitu, jika perubahan gaya hidup seperti di atas tidak berkesan atau anda mengalami masalah seperti buasir yang berdarah atau penyakit jantung seperti angina (sakit dada) yang bertambah teruk jika meneran, maka penggunaan ubat laksatif (julap) adalah perlu.
Laksatif juga membantu meringankan masalah sembelit dalam kalangan pesakit yang mengambil ubat jenis opioid atau menghidap irritable bowel syndrome.