Migrain tanda akan diserang angin ahmar
BUKAN mahu menakut-nakutkan tetapi satu penyakit boleh menjadi gejala penyakit kedua. Penyakit migrain yang sering menyerang di bahagian sebelah kepala memberi gambaran risiko angin ahmar dan serangan jantung.
Satu kajian di Amerika Syarikat dua tahun lalu mendapati jika seseorang itu diserang migrain sekali sebulan bermakna risiko serangan jantung meningkat 50 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan orang yang tidak pernah mengalami migrain.
Sementara itu, apabila seseorang mengalami migrain sekali dalam seminggu, risiko terhadap angin ahmar dan serangan jantung boleh meningkat tiga kali ganda.
Bagaimanapun, menurut seorang pakar dari Hospital Omni Pulomas, Dr. Imam Nito, hanya sakit kepala teruk yang disebabkan oleh salah satu organ tubuh tidak berfungsi dengan baik, contohnya aliran darah yang tersumbat dengan kolesterol, boleh membawa kepada angin ahmar dan serangan jantung.