Awas asid lemak trans
Kajian terkini menunjukkan bahan yang mengandungi asid lemak trans mempunyai risiko tinggi pada kesihatan kerana mempunyai kaitan yang sangat kuat pada masalah keradangan atau inflamasi saluran darah, kolesterol tinggi, sakit jantung koronari, strok, diabetes, kanser dan darah tinggi.
Antara kajian yang popular dipanggil Nurse‘s Health Study menunjukkan wanita yang mengambil lebih banyak asid lemak trans dalam pemakanan seharian mereka mempunyai risiko 50 peratus lebih tinggi mendapat serangan jantung.
Kajian sains membuktikan bahawa pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans menyebabkan masalah ‘aterosklerosis’ iaitu saluran darah di jantung tersumbat kerana berlaku pengumpulan kolesterol di dinding saluran darah koronari lantaran saluran darah berkenaan mengalami masalah keradangan atau inflamasi.
Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mi segera, biskut, piza, kuih-muih, kek, pastri, kerepek, donut, kentang goreng dan jajan. Kebanyakan makanan ini menggunakan marjerin atau ‘shortening’.
Makanan segera seperti ‘burger’ yang dijual di tepi jalan atau di restoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana digoreng menggunakan marjerin.
Minyak yang kaya dengan asid lemak tak tepu (PUFA) seperti minyak sayuran (soya, bunga matahari, jagung) yang dipanaskan dengan suhu tinggi juga akan berubah menjadi asid lemak trans apabila digunakan dalam gorengan ‘dalam’ (deep frying) .
Di samping itu, makanan segera banyak menggunakan bahan perasa dan bahan pengawet. Kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan masalah sakit jantung dan penyakit kronik lain.