Rawat kulit sensitif
KAJIAN terbaru yang dijalankan Akademi Dermatologi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan lebih 50 peratus penduduk AS mempunyai kulit sensitif berdasarkan simpton seperti gatal, kemerah-merahan, rasa panas, menyengat dan kekeringan yang membawa kepada penuaan awal.
Hal ini turut berlaku di Asia malah berjuta-juta orang di seluruh dunia mempunyai kulit sensitif dan jumlah ini semakin meningkat.
Kulit sensitif dapat dilihat menerusi ciri-ciri fizikal seperti kulit yang lebih nipis, kulit terasa tegang akibat kekeringan, bertompok kemerah-merahan, menggelupas dan mudah bertanda merah.
Biasanya alahan ini disebabkan pelbagai faktor antaranya genetik, gaya hidup seperti tekanan, tabiat pemakanan, prosedur perubatan dan alam sekitar seperti pencemaran dan perubahan cuaca.
Secara biologi kulit menjadi alah atau terlalu merengsa bagi lapisan epidermis atau lapisan kulit pelindung. Kerengsaan ini terbahagi kepada imunogen iaitu apabila kulit diserang, sel kulit setempat mendapat amaran dan diaktifkan untuk melawan penyerang. Tindakan alahan pada kulit menyebabkan munculnya merah, sakit dan gatal.
Kerengsaan neurogenik pula dicetuskan oleh sistem imuniti tetapi ini diakibatkan oleh sistem saraf. Apabila bahan kimia itu mengaktifkan sistem saraf deria, saraf itu mengeluarkan bahan yang menyebabkan ketidakselesaan dan mengakibatkan kemerahan, sakit dan gatal.