TAHAP kolesterol yang tinggi di dalam badan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti serangan jantung dan strok.
.
Bagi orang dewasa, tahap kolesterol normal adalah kurang daripada 200mg/dl. Jika angka berada di atas tahap ini, risiko mendapat penyakit koronari meningkat, terutama jika bacaan kolesterol anda daripada 200mg/dl ke 239mg/dl.
.
Keseimbangan antara LDL dan HDL adalah amat penting bagi menjamin kesihatan anda. LDL atau lower density lipoproteins juga dikenali sebagai `kolesterol kurang baik’ manakala HDL atau high density lipoproteins adalah `kolesterol baik’. LDL menyebabkan arteri tersumbat dengan kolesterol manakala HDL menghalang perkara ini daripada berlaku.
.
Jika anda ingin mengawal atau mengurangkan tahap kolesterol, berikut adalah cara-cara yang boleh diamalkan dalam kehidupan harian:
.
* Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi yang menaikkan tahap LDL badan. Bagaimanapun, kebanyakan sayuran atau buah-buahan tidak mengandungi kolesterol.
.
* Baca label makanan. Kebanyakan snek dan makanan yang telah diproses mengandungi lemak tepu yang sukar dikesan oleh pengguna.
.
* Berhati-hati apabila mengambil produk menggantikan produk tenusu (non-dairy substitutes). Susu krim kopi, bancuhan kek dan krim putar selalunya mengandungi minyak kelapa atau kelapa sawit yang mengandungi lemak tepu yang tinggi.
.
* Gantikan pengambilan lemak tepu (saturated fats) dengan lemak tak tepu (unsaturated fats). Minyak zaitun dan avokado adalah punca terbaik lemak monounsaturated, manakala lemak polyunsaturated boleh ditemui dalam minyak kesumba (safflower), bijan, soya, bunga matahari, jagung dan biji kapas.
.
* Jika anda rasa sukar untuk kenyang jika tidak mengambil makanan berdaging dengan secukupnya, pastikan anda hanya makan daging yang sudah dibuang lemak atau rendah kandungan lemaknya. Untuk mudah kenyang, anda juga boleh memakan lebih makanan berkarbohidrat seperti roti, nasi dan bijirin.
.
* Pada tahun 1997, Lembaga Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) telah mengesahkan bahawa serat mudah larut yang terkandung di dalam oat boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. Selain oat, anda juga boleh mengambil kacang pis dan kekacang yang mengandungi kandungan serat yang tinggi.
.
* Untuk mendapat faedah kesihatan yang optimum, pastikan diet anda seimbang dan pelbagai.
.
* Kurangkan atau berhenti merokok. Merokok mengurangkan kandungan HDL di dalam badan anda.
.
* Bergerak selalu! Aktiviti harian yang sederhana atau senaman yang sempurna boleh menaikkan tahap HDL badan anda.
.
.