Kawal tahap kolesterol

Oleh : Hajahfarhana Tarmudi

Belum terlambat jika mahu me­ngubah amalan pengambilan diet dan gaya hidup sihat walaupun selepas diberi­tahu doktor bahawa kita mempunyai tahap kolesterol yang tinggi. Jika sebelum ini kita masih bersenang-lenang kerana menganggap cukup sihat, kini isu kesihatan perlu diambil serius bagi me­ngurangkan kesan buruk kepada tubuh.

Kolesterol yang tinggi boleh memberi kesan kepada sebilangan besar rakyat Malaysia dan ia ada kaitan dengan genetik, gaya hidup dan amalan pemakanan

Misalnya diet ­tinggi ­lemak tepu boleh ­menyebabkan pengumpulan plak kolesterol dalam salur darah, seterusnya ­menyempitkan salur darah dan mengehadkan aliran darah. 

Pengumpulan kolesterol ini akan menyebab­kan salur darah tersumbat. Apabila aliran darah ke jantung terjejas, serangan jantung akan berlaku.

Kolesterol jenis baik dan buruk 

Orang ramai sering berasa terancam dengan keburukan kolesterol kerana mendapat maklumat yang tidak tepat. Sebenarnya kolesterol adalah sebahagian daripada bahan kimia penting untuk tubuh. 

Kolesterol terdapat dalam setiap sel manusia dan haiwan. Selain kolesterol yang diperoleh daripada pengambilan makanan berasaskan haiwan, tubuh kita juga mempunyai kemampuan untuk menghasilkan kolesterol yang diperlukan untuk pelbagai fungsi badan. 

Kolesterol adalah ­sejenis lemak (dikenali sebagai lipid) yang diperlukan oleh badan untuk ­berfungsi. Pengekalan tahap ­kolesterol dalam peringkat yang disarankan ­(normal) ­adalah penting ­untuk memperoleh kebaikan maksimum

Kolesterol digunakan untuk penghasilan cecair hempedu oleh hati. Ini penting bagi melindungi sel saraf, membina sel baru dan menghasilkan hormon yang diperlukan untuk perkembangan normal serta melancarkan fungsi tubuh manusia. 

Molekul kolesterol diang­kut melalui darah dalam kapsul protein yang dikenali sebagai lipoprotein. Terdapat dua jenis kolesterol yang utama ia­itu lipoprotein ketumpatan rendah (LDL ) dan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL). 

Kolesterol LDL juga dikenali sebagai kolesterol buruk kerana mempu­nyai kecenderungan untuk melekat di dinding arteri (salur darah) yang akan menyebabkan salur darah tersumbat dan meningkat­kan risiko pe­nyakit kardiovaskular. 

Justeru, menurunkan paras kolesterol LDL akan mengurangkan risiko pe­nyakit jantung. 

Kolesterol HDL (kolesterol baik) pula mencegah penyempitan salur darah ke jantung dengan mengurangkan mendakan kolesterol dalam saluran darah. Oleh itu, ia menurunkan risiko serangan jantung. 

Ukuran mudah sediakan hidangan 

Salah satu cara untuk mengawal tahap kolesterol di dalam badan adalah melalui pemakanan yang sihat. Ada cara mudah yang boleh diamalkan bagi membantu mengawal pe­ngambilan makanan yang dinikmati setiap hari ia­itu menggunakan tapak ta­ngan sebagai ukuran. Misalnya, ambil satu hidangan daging atau ikan mengikut saiz tapak ta­ngan sendiri. 

Selain itu, buah juga tidak boleh dilupakan. ­Lengkapkan hidangan yang dinikmati dengan saiz hidangan buah segar sebesar penumbuk. Jika mahu mengamalkan diet seimbang, sediakan sayuran, nasi atau pasta bersesuaian dengan saiz tapak tangan (dibentuk meleng­kung seperti cawan).

Sumber : Harian Metro Online


$tajuk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *