Ketahui 3 Punca Ekzema
Ekzema adalah satu keadaan kulit yang disebabkan oleh keradangan dan juga dikenali sebagai atopik atau dermatitis. Kebiasaannya, ekzema akan menyebabkan kulit seseorang itu mengalami kegatalan, kemerahan, kering, merekah, bersisik, timbul cecair dan berdarah serta kulit menebal.
Ekzema boleh kelihatan di mana-mana bahagian tubuh badan. Bagi kebanyakan orang, ekzema adalah satu masalah kulit yang kronik dan kerap terjadi kepada kanak-kanak seawal usia dua bulan.
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap ekzema akan beransur pulih menjelang umur belasan tahun. Ekzema tidak dapat dipulihkan sepenuhnya tetapi boleh dikawal dengan rawatan yang sesuai.
Apakah punca yang menyebabkan ekzema ini sering terjadi pada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
1. Keturunan
Faktor keturunan memainkan peranan penting kepada risiko mendapat masalah penyakit kulit ini. Jika ada keturunan keluarga yang menghidap masalah ini, tidak mustahil anaknya juga berisiko tinggi menghidapinya.
2. Kuman yang membiak
Ada sesetengah pesakit mendapat masalah ini berpunca daripada kuman kulat yang dipanggil pityrosporum ovale. Namun, tidak semua bayi menghadapinya disebabkan kuman kulat berkenaan.
Peningkatan sensitiviti kepada kulat berkenaan iaitu organisma yang hidup pada kulit dipercayai memainkan peranan dalam masalah ini.
3. Bahan kimia seperti buih sabun
Elakkan menggunakan sabun daripada jenis berbuih banyak kerana ia menyebabkan kulit menjadi lebih kering. Apabila kering, kulit akan rasa lebih gatal. Sebaiknya gunakan sabun yang khusus untuk kulit sensitif dan mandi menggunakan air yang tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.
Ekzema boleh dirawat melalui kaedah perubatan. Sebaik sahaja anda mendapati ada kelainan seperti tompok-tompok merah, berair dan bersisik di kulit anak atau pada anda, segeralah berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan sebagainya.
Ubat pencegah gatal seperti antihistamin dan krim steroid digunakan untuk kes-kes yang teruk dan jika terdapat jangkitan kuman. Namun, rawatan ini hanya untuk mengawal, mengurangkan gejala dan tanda tetapi bukan untuk penyembuhan.
Tetapi bagaimana pula, anda ingin menjaga anak yang mengalami ekzema?
Usah risau, di bawah ini adalah antara perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu mengurangkan masalah tersebut.
Amalkan vitamin / supplemen dan krim pelembab secara teratur
Letakkan anak di bilik yang selesa dan nyaman
Gunakan pakaian jenis kapas dan nipis
Elakkan daripada fabrik kasar
Gunakan krim pelembab selepas mengelap badan anak anda
Awasi makanan yang menyebabkan alahan dan dapatkan nasihat doktor.
Justeru itu, ibu, bapa dan penjaga disarankan saling membantu dalam menguruskan anak yang menghidap ekzema serta mencari kaedah paling sesuai bagi mengurangkan ketidakselesaan yang ditanggung anak mereka.
Dari segi pengambilan ubat pula, ramai ibu bapa yang agak keberatan apabila diberitahu anak mereka perlu diberikan ubat yang mengandungi steroid kerana bimbangkan kesan sampingannya. Jalan terbaik, dapatkan nasihat doktor atau pakar kulit berkaitan permasalahan ini. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati!