Masalah jerawat?
JERAWAT! Malunya hendak keluar, apa nak buat ini? Mungkin lebih baik menyorok saja di rumah supaya orang lain tidak nampak kesan cela yang ketara pada wajah. Tetapi sampai bila perlu berbuat demikian dan sanggupkah memerap diri selama 24 jam di rumah?
Reaksi yang memperlihatkan rasa tidak senang hati dan kerunsingan seperti itu sememangnya berlaku pada sesetengah remaja baru hendak melangkah ke alam dewasa serta sering beranggapan, masalah jerawat sesuatu amat memalukan. Realitinya, hampir setiap remaja bimbang mereka akan mendapat jerawat apabila menginjak akil baligh. Sehinggakan, sebutir jerawat yang ada pada wajah boleh menyebabkan mereka mengalami masalah emosi begitu teruk.
Gambaran itu turut memperlihatkan, masalah kulit remaja boleh menjadi isu berpanjangan yang merumitkan atau boleh timbul masalah lain jika tidak ditangani dengan betul.
Masalah kulit boleh jejaskan penampilan, sekali gus kurangkan keyakinan diri
JERAWAT, penyakit kulit yang kerap berlaku di kalangan remaja atau golongan muda dan dikatakan berlaku akibat perubahan hormon yang dialami. Walaupun mungkin berlaku pada tahap ringan atau sederhana, jerawat tidak seharusnya dipandang remeh kerana jika tidak dirawat dengan betul ia boleh melarat dan menjadi bertambah teruk hingga ke tahap sukar dikawal.
Dalam sesetengah kes, walaupun jerawat sudah sembuh selepas dirawat, ia akan meninggalkan masalah seperti parut yang kekal pada muka. Ada juga yang berdepan dengan masalah kulit menjadi berlubang dan kasar, manakala kehadiran tompok hitam bekas peninggalan tapak jerawat menyebabkan kulit kelihatan kotor atau hodoh sehingga menimbulkan rasa rendah diri.
Lazimnya masalah kulit itu menyerang mereka yang mempunyai kulit muka berminyak terutama remaja atau golongan muda. Ini berlaku kerana pada peringkat usia itu pengeluaran hormon androgen yang berlebihan akan merangsang kelenjar sebum untuk menghasilkan sebum (bahan berminyak yang dirembeskan oleh kelenjar sebum) berlebihan dan keadaan demikian menyebabkan muka berminyak.