Kanser buah pinggang : lebih ramai mangsa lelaki
Keadaan ini mungkin disebabkan kanser buah pinggang tidak begitu ‘menyerlah’ seperti kanser payudara yang sering mendapat perhatian ramai hingga menyebabkan ada individu yang tidak begitu mengendahkan penyakit itu.
Disebabkan kurang mengambil berat mengenai tahap kesihatan diri, kebanyakan pesakit hanya berserah dan tidak melakukan pemeriksaan lanjutan bagi mengawal penularan sel barah berkenaan.
Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr Mohd Ibrahim A Wahid, berkata walaupun kanser itu nampak tidak gah di mata umum, ia perlu dipandang serius kerana ia tetap membahayakan nyawa penghidapnya.
Menurutnya, kanser buah pinggang peringkat serius itu juga dikenali sebagai sel renal karsinoma (RCC).
Antara petanda yang menunjukkan individu berkenaan mengalami RCC ialah kencing berdarah (hematuria), sakit pada bahagian rusuk, sakit belakang, terdapat ketulan pada bahagian rusuk dan abdomen, hilang selera makan, berat badan menurun, demam, kelesuan melampau serta tekanan darah meningkat.
Bagaimanapun, katanya, di Malaysia kadar penghidap RCC masih rendah, tetapi ia tetap perlu ditangani secara serius dan menyeluruh.
Ini kerana ia boleh dikatakan sejenis kanser buah pinggang yang paling biasa ditangani iaitu 85 peratus daripada kes yang dilaporkan menyerang golongan lelaki dewasa.
“Tapi ia tidak bermakna wanita tidak akan mengalaminya, cuma kebanyakan kes dilaporkan membabitkan golongan lelaki berusia 60 tahun hingga 70 tahun.
“Paling penting jangan hanya melihat pada angka yang dilaporkan kerana ia boleh menjadi lebih tinggi berdasarkan kes yang tidak dilaporkan akibat kurangnya kesedaran mengenai cara rawatannya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dianggarkan 100,000 pesakit meninggal dunia akibat menghidap RCC di seluruh dunia saban tahun. Ia antara tujuh kanser yang biasa menyerang serta penyebab berkaitan kanser yang mengakibatkan kematian di kalangan lelaki di seluruh dunia.
Dr Mohd Ibrahim berkata, pembedahan adalah rawatan paling biasa dilakukan bagi kanser buah pinggang. Lazimnya, pakar bedah akan mengeluarkan keseluruhan buah pinggang bersama-sama dengan kelenjar adrenal dan tisu di sekeliling buah pinggang.
Ia bertujuan untuk mengelakkan kanser yang dihidapi kembali menyerang, tetapi ia tetap tidak dapat menjamin keberkesanan proses itu kerana 33 peratus pesakit akan menghidap kembali kanser berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, proses pembedahan hanya dilakukan untuk pesakit yang menghidap kanser buah pinggang untuk tahap satu hingga tiga saja.
“Untuk mereka yang menghidap RCC, ia memerlukan bentuk rawatan lain selain daripada pembedahan. “Ini kerana sel barah yang dihidapi sudah merebak kepada organ lain dalam badan dan ia boleh membahayakan diri sekiranya melakukan pembedahan.
“Apa yang diperlukan adalah cara untuk mengekang penularan sel barah berkenaan dan memperlahankan perkembangan sel barah daripada merebak kepada organ lain dalam badan,” katanya.
Di samping itu, katanya, dalam senario pesakit tempatan masyarakat Cina lebih ramai menghidap kanser ini berbanding Melayu dan India. Tidak dapat dipastikan punca ia berlaku kerana penyebab kehadiran kanser ini tidak bergantung kepada bangsa seseorang.
“Saya tidak dapat memastikan dengan tepat kenapa kaum Cina lebih terdedah kepada RCC kerana faktor penyebab berlakunya kanser adalah sama bagi semua golongan.
“Kebiasaannya mereka yang mempunyai tabiat suka merokok, mengamalkan gaya hidup tidak sihat, kegemukan, tekanan darah tinggi serta menghidap penyakit buah pinggang adalah golongan paling terdedah kepada kemungkinan mendapat RCC,” katanya.
Bagaimanapun, kini terdapat sinar harapan baru kepada RCC dalam usaha mencari rawatan pilihan terbaik yang boleh dijalankan selain berhadapan dengan pembedahan.
Syarikat farmaseutikal Pfizer Malaysia misalnya, cuba mengetengahkan bentuk rawatan terbaru untuk penghidap RCC menggunakan Torisel (temsirolimus).
Penggunaan ubatan ini bagaimanapun mempunyai kesan sampingan terhadap penggunanya antaranya ruam, keletihan, sakit mulut, mual, bengkak badan, kurang selera makan, kenaikan tekanan gula dalam darah serta kolesterol tinggi.
Sementara itu, menurut Perunding Perubatan Onkologi, Pusat Perubatan Sunway dan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Christina Ng Van Tze, berkata ia antara pilihan yang boleh diberikan kepada pesakit bagi merawat RCC.
“Bukan bermakna penggunaan ubatan ini dapat menyembuhkan RCC, tetapi peluang untuk memperlahankan perkembangan sel barah berkenaan amat tinggi.
“Ini memberi peluang kepada pesakit mengurangkan kesakitan yang dialami dan hidup lebih bermakna tanpa perlu bersikap tunggu dan lihat. Mereka juga diharapkan dapat menjalani kehidupan secara lebih positif,” katanya.