Risiko tersedak susu

Kecuaian ibu bapa, pengasuh tak endah teknik penyusuan botol punca tragedi

TIGA kes berbeza membabitkan mangsa berlainan tetapi berkongsi punca sama – kematian akibat tersedak susu. Kejadian itu sudah pasti membimbangkan ramai ibu bapa, khususnya yang terpaksa bergantung harap kepada perkhidmatan pusat jagaan kanak-kanak.

Ibu bapa mana yang dapat menerima berita buruk apabila permata hati yang baru mengenali dunia, hilang sekelip mata. Lebih dikesali, kematian insan tersayang akibat punca yang sememangnya boleh dielakkan andai semua pihak, khususnya yang menjaga bayi berkenaan, lebih bertanggungjawab menjaga bayi itu.

Namun, perlu diingat, kejadian seumpama itu tidak hanya membabitkan pusat jagaan, sebaliknya boleh berlaku di mana-mana. Apalagi ia membabitkan risiko ketika memberi susu botol kepada si kecil berkenaan.
Persoalannya, bagaimanakah kejadian tersedak susu itu boleh berlaku?

Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam, Dr Varughese Koshy, berkata, tidak dinafikan, bayi sememangnya berisiko untuk tersedak ketika menyusu terutama jika mereka yang berusia di bawah setahun.

Malah, katanya, semakin kecil usia mereka, semakin tinggi risiko untuk tersedak ketika menyusu.

“Dua fakta yang utama, sistem pertahanan tubuh yang belum matang dan kecuaian ibu bapa atau pengasuh mengenai keselamatan anak-anak menyumbang kepada kejadian tersedak susu ini.
“Walaupun ia bukan kes yang terlalu kerap dilaporkan tetapi kecuaian boleh menyebabkan ia terjadi. Setiap bayi sememangnya berisiko untuk mengalami masalah ini,” katanya.

Dr Varughese turut mengingatkan, bayi juga tidak hanya berisiko tersedak susu tetapi juga pelbagai jenis makanan lain. Ini seperti kekacang, ketulan daging atau ikan yang dipotong dalam saiz besar atau disediakan dengan tidak sempurna seperti tidak dihancurkan sebaiknya hingga menyukarkan mereka untuk menelan.

Katanya, berbanding orang dewasa, sistem pertahanan tubuh bayi juga belum terbentuk dengan sempurna. Dan bagi kes tersedak susu, ia membabitkan pembentukan ‘cough reflex’ yang belum cukup matang.

‘Cough reflex’ merujuk komponenan sensori dan motor, iaitu sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan yang sangat penting. Sistem pertahanan tubuh ini memungkinkan reseptor batuk dalam epithelium di laluan pernafasan sangat sensitif pada stimulasi mekanikal ataupun kimia.

Stimulasi pada reseptor batuk bertindak mengeluarkan bahan asing daripada sistem pernafasan sebelum ia sampai ke paru-paru.

“Keadaan itu menyebabkan bayi sukar untuk mengeluarkan bahan asing atau yang tidak dikehendaki, termasuklah cecair seperti susu daripada tekak.

“Otot mereka masih kecil untuk bertindak sedemikian,” katanya.

Sehubungan itu, kata Dr Varughese, tiada cara yang lebih berkesan bagi mengelak permasalahan atau risiko itu kecuali ibu bapa atau penjaga bersikap lebih prihatin dalam penjagaan bayi.

“Jangan sesekali tinggalkan mereka sendirian ketika menyusu. Walaupun anda berada di sebelah bayi itu sekali pun, jangan biarkan mereka menyusu dengan bertindak menjadikan bantal sebagai bahan penyendal atau penahan botol susu.

“Sebaliknya, cara terbaik adalah memegang botol susu itu. Pada masa sama, pantau sesi penyusuan itu,” tegasnya.

Dr Varughese berkata, ibu bapa juga perlu prihatin aspek pemilihan puting botol susu yang digunakan.

Ini kerana, lubang puting yang besar menyebabkan susu mengalir terlalu laju yang memudahkan mereka tersedak.

Begitu juga ketika memberi mereka makan, ibu bapa atau pengasuh perlu peka untuk melihat keupayaan anak sama ada si kecil itu sudah berupaya mengunyah makanan dengan baik atau sebaliknya.

“Tidak semua makanan mesti dihancurkan sebelum disuap kepada anak. Sebaliknya, potong makanan dalam saiz kecil yang bersesuaian dengan keupayaan anak untuk mengunyah atau menelan.

Info: Cara betul/teknik menyusu bayi

* Ini bergantung pada cita rasa dan pilihan anda. Anda boleh menyusu sambil duduk, berbaring atau serong sebelah.

* Tentukan kedudukan anda betul. Bermakna cara anda duduk atau baring, memegang bayi dan bagaimana bayi menyesuaikan mulutnya apabila menyusu.

* Bayi perlu diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar di atas katil dengan kepala bayi di atas lengan atau duduk bersandar di kerusi.

* Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga susah ia mencapai puting payu dara. Jangan terlalu membongkok sehingga terlalu rapat dengan bayi.


* Gunakan sesuatu seperti bantal, kusyen, atau bahan yang lembut tapi kukuh untuk bersandar atau merehatkan kaki agar dapat menyokong anda dan bayi.



Perkara perlu dielak

* Jangan sekali-kali tinggalkan bayi sendirian ketika menyusu.

* Jangan jadikan bantal atau kusyen sebagai penahan atau penyendal botol susu yang diberi kepada si kecil, sebaliknya pegang botol susu itu.

* Pantau sesi penyusuan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

* Jangan pandang remeh pembelian puting susu. Sebaliknya, peka kepada aspek lubang puting itu kerana lubang besar juga berisiko menyebabkan bayi tersedak susu.
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *