Cara Mengawal Tahap Kolesterol
Tetapi jangan bimbang kerana kata kuncinya mudah saja, anda hanya perlu mengamalkan diet atau pemakanan seimbang serta menjalani kehidupan aktif untuk mengawal paras kolesterol sekali gus mengawal berat badan.
Molekul kolesterol darah ini berasal daripada dua sumber iaitu sintesis tubuh badan (melalui hati dan usus) dan juga diet harian seseorang. Kolesterol terbahagi kepada dua jenis iaitu kolesterol baik dan jahat. Kolesterol jenis lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) adalah sejenis kolesterol baik yang akan membawa kolesterol dari seluruh saluran darah ke organ hati kemudian hati akan memproses kolesterol untuk dikeluarkan dari tubuh.
Lebih tinggi paras HDL, kolesterol yang tersimpan di dalam salur darah arteri akan berkurang dan ini akan melindungi fungsi dan tahap kesihatan jantung. Sebaliknya, kolesterol jahat atau liporotein berketumpatan rendah (LDL) pula akan membawa kolesterol dari hati ke saluran darah di seluruh tubuh. Jadi, apabila semakin tinggi paras LDL di dalam badan, ini akan menyebabkan banyak kolesterol tersimpan di dalam salur darah.
Ini memungkinkan pengumpulan dan penyumbatan kelompok kolesterol di dalam salur arteri seterusnya menghalang darah daripada mengalir lancar ke jantung. Hal ini meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan kematian mengejut, katanya.
Bacaan paras kolesterol boleh diperoleh melalui hasil profil lipid daripada ujian darah. Seseorang itu dikatakan mempunyai masalah kolesterol tinggi (hypercholesterolemia) apabila mempunyai bacaan jumlah kolesterol melebihi paras normal iaitu 5.2 mmol/L dan jumlah aras kolesterol LDL darah melebihi 2.6 mmol/L.
Terdapat beberapa golongan berisiko yang boleh mendapat paras kolesterol tinggi seperti individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mempunyai sejarah penyakit metabolik (diabetes, penyakit tekanan darah tinggi dan serangan jantung), mempunyai sejarah keluarga yang turut mempunyai masalah kolesterol dan penyakit jantung, individu yang kurang aktif serta perokok tegar.
Amalan pemakanan sihat dan seimbang dengan pengambilan hidangan lengkap bercirikan bijirin penuh berserat, jenis protein yang betul, sayur-sayuran dan buah-buahan yang mengandungi serat dan antioksidan yang tinggi serta lemak yang sihat mampu membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.