Selesema jangkitan virus

DALAM keadaan cuaca berselang hujan dan panas ini, ramai terkena selesema. Selesema adalah jangkitan virus pada salur pernafasan. Selsema adalah penyakit biasa, tidak membahayakan tetapi menyebabkan seseorang berasa tidak selesa.

Lazimnya, seseorang itu akan mendapat selesema tiga atau empat kali setahun. Manakala kanak-kanak, terutama yang belum bersekolah, pula lebih kerap mendapat selesema.

Sebenarnya, ada lebih 200 virus yang boleh menyebabkan selesema. Berita baiknya, simptom selesema akan sembuh dalam tempoh seminggu. Jika selesema anda berpanjangan melebihi dua minggu, segera berjumpa doktor bagi memastikan ia bukan jangkitan bakteria pada paru-paru, anak tekak, trakea (tenggorok), sinus atau telinga.

Simptom awal bermula beberapa hari sebelum anda dapat selesema. Tanda paling jelas adalah hidung berair, sakit dan gatal tekak, hidung tersumbat, sakit badan dan kadangkala pening kepala. Tanda lain termasuk hidung berhingus, bersin, mata berair, batuk, badan panas dan demam, tetapi suhu badan tidak melebihi 102º F.

Virus selesema memasuki badan melalui mulut dan hidung. Ia juga boleh merebak melalui udara (bersin dan batuk) serta sentuhan.

Menggosok mata atau hidung selepas menyentuh barang dipegang orang yang selesema seperti pen dan telefon boleh menyebabkan anda turut mendapat virus berkenaan.

Kanak-kanak lebih berisiko mendapat selesema kerana sistem pertahanan badan mereka belum imun dengan kebanyakan virus selesema. Namun ini bukan sebab utama. Kanak-kanak lebih banyak meluangkan masa bermain dengan rakan sebaya, menyebabkan penyakit ini mudah merebak.

Selesema juga adalah tindak balas terhadap alahan pada saluran pernafasan. Malah, mereka yang mengalami tekanan psikologi juga boleh mendapat selesema. Sehingga kini, tiada ubat untuk selesema. Biasanya selesema sembuh dalam tempoh seminggu. Jika suhu badan anda meningkat melebihi 102º F diikuti sakit dan cepat letih, ia mungkin influenza.

Jika selesema berpanjangan melebihi 10 hari dan ada masalah pernafasan yang kronik, segera berjumpa doktor. Secara amnya, keadaan kanak-kanak yang diserang selesema lebih teruk. Bawa anak berjumpa doktor jika mereka demam (suhu melebihi 103º F), muntah, mengadu sakit perut, kepala dan telinga; tidak boleh tidur, sukar bernafas dan asyik menangis.

Selesema yang sering dipandang ringan ini bagaimanapun boleh menyebabkan jangkitan telinga yang akut (otitis media); iaitu apabila bakteria memasuki gegendang telinga dan keadaan ini biasa di kalangan kanak-kanak.

Selesema berpanjangan juga boleh menyebabkan jangkitan sinus, tekak, bronkitis dan pneumonia. Jadi, jangan anggap selesema penyakit yang boleh diabaikan.

Untuk meredakan masalah hidung tersumbat, ada yang menggunakan semburan hidung.

Penggunaan yang berpanjangan akan menyebabkan anda memerlukan produk ini untuk melancarkan laluan pernafasan.

Semburan ini sebenarnya boleh menyebabkan membran mukus pada hidung mengalami keradangan. Jika terpaksa menggunakannya, pastikan ia tidak melebihi beberapa hari saja.

Ubat yang dibeli di kedai atau farmasi tidak mampu merawat selesema. Malah, antibiotik juga tidak memberi kesan terhadap virus selesema. Namun, beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak diserang penyakit berjangkit ini.

– Basuh tangan sekerap mungkin dan jadikannya amalan keluarga, terutama anak-anak yang aktif bermain.

– Pastikan bilik air dan dapur sentiasa bersih, terutama apabila ada anggota keluarga diserang selesema.

– Tutup mulut dengan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu ini selepas sekali digunakan.

– Jangan berkongsi cawan atau gelas dengan orang lain, terutama jika ada yang kena selesema.

– Jauhkan diri, terutama kanak-kanak, daripada orang yang diserang selesema. Jika diserang selesema, pastikan anda minum banyak air; sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Jangan minum minuman beralkohol dan kopi serta merokok kerana ia boleh memburukkan simptom selesema.

Ambil cuti sakit dan berehat. Pada masa sama, anda mengelakkan virus daripada menjangkiti orang lain. Legakan tekak dengan minum minuman yang bercampur sedikit garam atau air limau bersama madu beberapa kali sehari. Ia juga baik untuk meredakan batuk.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Maklumat diatas adalah sebagai panduan & rujukan sahaja. Ia tidak boleh dijadikan kaedah rawatan. Sila berjumpa doktor untuk mendapat maklumat lebih tepat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Minyak Kelapa Dara BioVCO Bersifat antivirus, antibakteria dan antifungus, Antioksida, meningkatkan sistem imunisasi, Pemangkin metabolisma tubuh. Maklumat lanjut sila lawat ke : http://www.biovco.com/?ref=ikb 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *